Sumbangan utama Ramanujacharya

Rāmānujā dikenang sebagai seorang tokoh utama yang mengajar dan menyebarkan satu sistem falsafah-agama yang memberikan kepentingan yang sama kepada Bhakti (iman) dan Jnana (ilmu). Sumbangan hebatnya ialah penyatuan ideologi dan metodologi Veda dalam bahasa Sanskrit dengan sastera agama oleh para Alwar yang berunsur iman. Penyatuan ini melahirkan "Ubhaya Vedanta", atau Vedanta yang berdasarkan kepada dua tradisi. Menurut Swami Vivekananda, “Gerakan Sankara meluaskan pengaruhnya dengan keintelektualan tinggi. Tetapi ia tidak banyak berguna kepada rakyat jelata kerana pematuhan ketat hukum kasta, skop yang sangat kecil untuk emosi biasa, dan menjadikan Sanskrit sebagai satu-satunya bahasa komunikasi. Sebaliknya, Ramanuja dengan falsafah yang sangat praktikal, dengan mengutamakan emosi, dan penafian sepenuhnya taraf sosial dengan menekankan pencapaian rohani, dan tarikan bahasa yang popular, dengan sepenuhnya berjaya membawa masyarakat kepada ajaran Veda.”[1]

Rāmānujā memperkembangkan sistem Vedanta yang dikenali sebagai Viśiṣṭādvaita Darsana. Ini ialah separa Advaita. Menurutnya, Brahman (Tuhan) ialah realiti yang agung dan bebas. Acit atau alam (juga dikenali sebagai Prakriti) dan Cit atau makhluk hidup (atau jiwa) ialah realiti yang abadi tetapi bergantung kepada Brahman yang merangkuminya dan pada masa yang sama, mengatasinya. Brahman ialah Sarvesvara (Makhluk Yang Agung) yang mempunyai kemuliaan yang tidak terkira. Brahman bertindak sebagai pencipta, pemelihara, dan pemusnah alam ini. Jiwa bersaiz halus dan jumlahnya tidak terkira. Jiwa dibezakan dengan jasad atau badan dan jiwa mempunyai kesedaran. Orang yang ingin untuk mencapai Mukti atau kebebasan mesti memulakan aktiviti-aktiviti karma atau kewajiban yang ditetapkan. Tindakan begini menyucikan mindanya dan membantu dalam perkembangan rohaninya dengan mengikuti jalan Bhakti (iman), Jnana (ilmu) dan Prapatti (pengabdian diri). Acit pula ialah benda-benda bukan hidup yang membentuk dunia ini. Jiwa yang dibebaskan, tinggal di Paramapada atau Vaikuntha. Jiwa-jiwa ini akan tinggal selama-lamanya bersama-sama Mahavishnu dan mereka tidak lahir semula di dunia ini.[2]